Friday 23 March 2012

SPM (Sijil Penentu Manusia) ??

Alhamdulillah, pujian setinggi-tinggi dilafazkan kepada Yang Maha Esa atas kurniaan limpahan rahmat dan hidayah. Penunjuk sepanjang jalan manusia daripada terjatuh ke jurang thogut dan wahana syirik. Ucapan syukur yang tidak terputus berkumat-kamit di mulut agar hati sentiasa redha dengan segela ketetapan yang telah ditentukan kepada kita. Semalam, hari yang ku nantikan telah tiba. Ingin melihat sejauh mana usahaku lebih kurang 3bulan yang lepas. Dan semalam(21/3), hasilnya telah keluar!

............

Aku terdiam, merenung seketika. Aku semak kembali sehelai tampalan kertas itu. Semak dan semak dan semak. Aku tertunduk, tapi masih terukir sebuah senyuman di bibirku. Lalu aku pergi menyindiri di suatu sudut untuk kembali bermuhasabah. Apakah benar Allah memakbulkan doaku? Atau Dia tangguhkan? Lalu, datang seorang sahabat menyapa ku. 'Dib.. macam mana result? Nta punya add-math ok? Math nta? Tercapai tak target nta?' Tiba-tiba ku tersentak, ku 'lari' kembali melihat kertas keputusan tu. Aku semak, ya Allah.. Barulah hikmahMu itu mulaku
nampak. Ya, benar. Tidak syak lagi. Aku semak dan mendapati bahawa semua keputusanku itu tidak ada yang gagal malah semuanya credit dan ke atas! Add-math yang selama ni aku cukup risau akhirnya mendapat C (credit). Aku berjaya mengeluarkan ia daripada lubuk G yang selama ini bertandang di situ(hehe). Malah, math aku juga yang agak teruk sebelum ini berjaya memperoleh A-. Ya, sepatutnya aku perlu bersyukur. kerna salah satu doaku termakbul! Setahu ku, syarat minima bagi mana-mana course, adalah credit dalam core-subject (bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah). So, that's it! You've got it.

Bersedih? Merudum kesepian?

Ya sahabat-sahabatku, tidak salah untuk bersedih dan kecewa. Amat normal bagi seorang manusia kerana itu adalah fitrah seorang manusia yang tersemat sebuah cita-cita dan harapan. Allah azza wa jalla telah menyuntik dalam diri kita suatu perasaan untuk mengejar impian masing-masing. Lalu, bila Allah 'halang' sebentar. Kita jatuh menyembah bumi, seolah-olah dunia ini gelap. Zulumatnya menutup ruang-ruang mentari yang ada. Tergambus onar masa hadapan kita.

SPM (Sijil Penentu Manusia) ??


Kita, aku lihat acap kali memandang sesuatu yang kecil sebagai ghayah(matlamat) yang besar. Ya, memang SPM itu penting dan ia adalah 'pintu' untuk kita memasuki mana-mana IPT. Tetapi, setahuku pintu itu banyak dan ada di mana-mana. Mungkin Allah atur keputusan yang diperoleh itu tidak mampu untuk melepasi pre-requisite untuk ambil sesuatu course di IPT yang tertentu. Tetapi masih terdapat lagi course yang sama, tempat berbeza. Mungkin di situ caturanNya untuk kita. Allah itu, mengatur yang terbaik, hikmahNya itu halus dan yang boleh lihat dan nampak hanyalah orang yang terbuka hatinya sahaja, yakni redha dan pasrah.

Apakah Allah itu kejam terhadap hambaNya? Adakah Dia menyeksa hambaNya setelah Dia mengurniakan sesuatu nikmat atau rezeki? Semestinya tidak, Allah itu tahu dan Maha Mengetahui apa yang terbaik dan sesuai untuk masa hadapan kita. Itulah kasih sayang Dia. Tidak baiknya keputusan kita mungkin adalah sebagai langkah menghalang kita ke sesuatu yang tidak baik. Sebagai contohnya, dalam kehidupan untuk menjadi seorang mahasiswa, kita ingin menjadi siswa kepada IPT yang gah dan hebat namanya. Terkenal di pelusuk dunia. Kita meletakkan inilah yang terbaik buat diri kita. Tetapi, benarkah ianya terbaik? Aku lihat, ramai yang 'A' akademiknya. Tetapi 'A' sahsiah dan imannya? Hanyut.

Jati diri yang dibentuk selama ini di lubuk-lubuk tarbiyah seperti di sekolah habis rosak. Lebih malang, hilang terus 'tapak' yang pernah wujud dalam diri kita. Ya, kadang-kadang kita menyangka kita boleh survive dengan suasana yang sangat liar. Teruji iman, goyah pendirian. Sahabat-sahabat, jangan sesekali untuk kita pinta bermain dengan percikan api. Usahlah meminta sesuatu diluar jangkaan kita. Syukurilah atas segala yang ada, andai kita menganggap ianya (keputusan) masih tidak baik. Maka, jadikan ia sebagai suatu tancapan untuk terus berjaya di kemudian hari.

"Ini bukanlah segala-galanya, tetapi adalah permulaan bagi segala-galanya"


Aku percaya, selagi keyakinan ku pada Allah itu ada, selagi itu rezekiku ada di mana-mana. Bahkan, kejayaan yang ku pinta itu masih wujud cuma ianya di samaran masa dan waktu. Apa yang perlu, aku terus melangkah sederap ke hadapan. Kerana, tidak akan terjadi seribu langkah tanpa dimulakan dengan langkah yang pertama. Itulah kata-kata yang pernah sahabatku ucapkan suatu masa dahulu. Harapanku buat sahabat-sahabat tercinta, usahlah bersedih lagi atas impian yang tidak tercapai. Mungkin sudah bukan rezeki yang tertulis di Luh Mahfudz. Tapi, percayakah kalian bahawa masih ada lagi harapan dan peluang yang berada di luar sana? Rebutlah dengan usaha yang gigih dan berdoa serta sentiasa bertawakal kepada Allah. Insya-Allah, bakal disusuli kejayaan itu. Buat sahabatku yang mendapat keputusan yang cemerlang dan baik. Tahniah. Moga kejayaan kalian adalah untuk kejayaan Islam juga.

No comments:

Post a Comment