Sunday 24 June 2012

Buat Sahabat di Bumi Perantauan


Kini, ianya menjadi sebuah bingkai kenangan dalam hidupku. Kehadiran mereka dalam dunia gelapku cukup memberi kesan. Senyum tawar mereka, lagat peribadi dan perangainya memberi sesuatu yang bermakna sepanjang hidupku bergelar seorang pelajar dan sahabat. Namun, tidak dinafikan adakalanya kami bersengketa, tetapi itulah fitrah dalam membina sebuah ikatan ukhuwah (persaudaraan). Bukanlah keindahan bersahabat itu, hanya terletak pada keseronokan, dan gelak ketawa, tetapi di manakah kepincangan dalam melahirkan buah kefahaman melalui ujian-ujian persengketaan, kesedihan itulah yang akan mewujudkan kemanisan indahnya bersahabat itu suatu hari nanti.

...................................................

Mereka... 

Ya mereka-mereka inilah yang telah meninggalkan bumi pertiwi tanah air demi melanjutkan pengajian dan pendidikan mereka. Merantau ke negeri jiran, Indonesia dan menyeberang merentasi lautan dan bumian untuk menjejakkan kaki di bumi anbiya, Sudan dan Mesir. Aku cukup
tidak sangka, gelak-gelak kami dahulunya dalam sebuah bulatan kerusi akhirnya dilamar sebuah tangisan kami dalam jarak yang cukup jauh. Jarak sejauh mata memandang. Setiap seorang daripada mereka, tersimpan pelbagai kenangan dan cerita yang berbeza. Tetapi 'jalan ceritanya' menuju kepada sebuah konklusi yang sama, iaitu 'ukhuwah'.


Muhammad Sufian bin Shamchul & Muzammil bin Baharuddin, International University of Africa, Sudan

Dua orang sahabat yang kini sudah berada di sana lebih daripada 3-4bulan. Kedua-duanya mengambil Lughah (Bahasa Arab) atau yang mudah difahami mengambil kelas intensif bagi menguatkan dan mengukuhkan struktur bahasa arab mereka terlebih dahulu. Mereka. Aku tidak sangka akhirnya mereka-lah antara wakil kelas kami yang menyambung pengajian di tanah Arab. 

Dulu ketika di sekolah, aku selalu bersembang dengan Sufian (gambar kiri) sama ada sewaktu kelas tengah 'gap', rehat, ataupun pada bila-bila masa akan perihal perancangan dia apabila sudah memasuki alam IPT nanti. Hatta, juga tentang perancangannya dalam membina sebuah baitul muslim yang tidak lama lagi (insyaallah). Kami selalu bertukar pandangan, berbincang, juga bersama sahabat-sahabat lain. Perbincangan yang kadang-kadang bukanlah sebuah perbincangan. Tetapi, mungkin lebih kepada berbual kosong. (haha) Mengatakan impian itu, ini, nanti begini, begitu. Semua ada. Tapi biasanya tajuk yang selalu dinaikkan adalah mengenai.... walimah.


Muzammil? Dahulunya merupakan teman sebilik ketika aku mula memasuki Aspura SMiK. Teman yang sering aku kejutkan di tengah-tengah malam. Aku rindukan dia. Walaupun dialah antara orang yang aku suka cari fasal. Fasal yang pelbagai versi dan rupa. Dia.. seorang yang suka menghiburkan malah bersama ustaz juga, boleh dia bercanda-canda dengan gurauan yang mungkin tidak berapa sesuai pada tahap dan umur. Tapi, "ustaz-ustaz kan sporting.." Dia, apa yang aku belajar daripada dia. Dia seorang yang ingin mencuba dan suka mencuba. Suka berkongsi dan suka dikongsi. Antara sahabat yang menjadi inspirasi untuk diriku. Orangnya happy go-lucky tetapi saat hati mula tersentuh. Beza 360 darjah daripada sebelum itu.


Ahmad Hussein bin Kamaruddin, Mesir

Dia kini, aku kurang pasti di manakah institusi pengajian dia di sana. Khabar yang aku terima, dia buat sementara ini, hanyalah sebagai pekerja sambilan di salah sebuah kedai makanan yang ada di sana. Dia sebenarnya di sana tidaklah keseorangan, kerana ada bersama dengannya abang dia yang telah lama menetap di situ. Ahmad Hussein. rakan se-halaqah aku sewaktu aku di tingkatan 3 bersama pak cik Roslan. Setiap hujung minggu malam Sabtu, akan kami berkumpul bersama-sama sama ada di surau SRiK atau pun di court bola tampar selepas maghrib bagi menunggu kedatangan pak cik halaqah. Oh, sebuah kenangan yang tidak dapat dilupakan. Tahun ketiga aku di alam menengah adalah tahun yang paling aku rindui. Bagaimana dengan perjalanan kami menantikan kehadiran pak cik halaqah, adakalanya menyakat rakan-rakan halaqah yang lain ketika pak cik sedang membuat penyampaian. Habis hilang tumpuan gara-gara sakat-menyakat ni. Aduhai.. Aku ingin mendoakan agar dia mempunyai peluang yang terbaik dalam hidup dia. Tidak mengalah dan sentiasa mencari bakat dan kebolehan di tengah-tengah keupayaan dia yang tersembunyi. Mencapai sukses dalam hidup dia walaupun kami berjauhan antara satu sama lain.


Abdullah bin Hassan & Zahid bin Noorazman, Jakarta, Indonesia

Zahid. Penuh cerita, banyak kenangan bermula kami di tingkatan tiga. Jalan cerita yang kami tempuhi sama tetapi berbeza notkahnya. Seorang yang relax, dan cool tetapi kadang agak kabut sikit dan kuat melawak (haha) lebih-lebih lagi apabila bersama "Trio Z" (Zuhdi.Zufar.Zahid). Sangat dekat dengan mereka bertiga kerana kedudukan kami di dalam kelas, aku adalah di hadapan mereka. Pelbagai 'bahan', luahan, perkara karut-mengarut kami buat bersama. Dia, Allah kurniakan suara yang sedap dan kebolehan mengawal bola dengan baik. Sering menjadi poacher bila bermain futsal. Aku, selalu berkongsi suka dan duka. Sikap dia yang open-minded menyebabkan aku rasa selesa untuk berkongsi dan bercerita dengan dia. Kisah aku dengan si 'dia', keluh aku dalam pelajaran, masalah aku dalam membuat keputusan. Dia antara orang yang aku sering minta pandangan selepas sahabat-sahabatku yang lain. Mungkin, kerana kami pernah berkongsi sesuatu yang 'sama' suatu ketika dahulu menjadikan kami mudah bersefahaman? Mungkin? :)

Abdullah, atau panggilannya 'alah', seorang sahabat yang pantang dicabar. Pernah terjun bangunan tinggi hanya semata-mata menyahut cabaran seorang teman yang lain. Akhirnya, kaki tak boleh jalan lebih kurang seminggu. Sayang seribu sayang. Dia ini, bagi aku seorang sahabat yang macho di luar fizikalnya, tetapi lahiriah-nya tersimpul sebuah hati yang sunnguh setia. Setia dengan apa sahaja. But, it is just my expectation based on my observation towards him. Whether it's true or not, i'm not sure. Dia, mungkin ada titik pertemuan itu, adalah kerana dia seorang yang gemar membaca novel. Especially, about novel cinta yang Islamik. Yes, same goes to me. Selain itu, kami memang gemarkan dunia kelab bola sepak. Pernah suatu ketika, kami bersengketa dengan persengketaan yang sungguh teruk gara-gara hanyalah kerana perbezaan kumpulan yang diminati. Tapi, alhamdulillah. Segala-galanya kembali kepada biasa, dan ukhuwah kembali terjalin. Senyuman kami antara satu sama lain masih lagi melakar.

Mereka berdua kini mengambil Sijil Tahfiz al-Quran dan Kitab di salah sebuah Pesantren di Jakarta selama dua tahun yakni tahun pertama dalam penghafalan al-Quran dan tahun keduanya akan mula mengkaji dan membedah kitab-kitab ulama-ulama muktabar. Selesai 2 tahun di sana, maka akan disambung pengajian mereka di Timur Tengah mengikut pengkhususan mereka sama ada dalam Usul Fiqh, Syari'ah atau pun bidang-bidang yang lain. Tetapi, bagi Zahid Noorazman. Dia di sana hanyalah sebentar sahaja, lebih kurang setahun yakni dalam bulan 6 tahun hadapan. Dia akan kembali ke tanah air dan menyambung pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Asasi Kejuruteraan dan Komputer Sains. Matlamat dia di sana hanyalah untuk membantu dan mempercepatkan proses penghafalan al-Quran dia.

Semoga Allah  mempertemukan kita lagi selepas ini..


Pemergian mereka cukup menyedihkan. Mungkin reaksi dan express wajah-ku biasa sewaktu hari penerbangan mereka. Tetapi, jauh di pangkal hati-ku. Rasa seolah-olah ingin menahan masa daripada berlalu dan tarik kembali kenangan-kenangan pahit manis bersama. Tapi, apakan daya. Masa itu tetap berlalu dan berlalu. Apa yang telah berlaku hanyalah sebagai sebuah nostalgia. Apa yang bakal berlaku, menjadi sebuah kehidupan. Setiap hari aku melalui sesuatu perkara yang telah aku lalui, aku akan terkenang inilah yang dahulunya kami lakukan bersama. Ya Allah, tiada tempat luahan dan rintihan hati hamba-Mu yang merindukan saudara-saudaranya yang lain melainkan diri-Mu. Persatukanlah kami di bawah jalan redha-Mu dan pertemukanlah kami di pengakhiran yang membahagiakan kehidupan kami.

*Bulan September nih, dua lagi insan yang aku kasihi bakal terbang ke Timur Tengah, Mesir dan Jordan. Siapa? Akan ku titipkan lagi sebuah artikel yang tidak seberapa sebagai dedikasi buat mereka berdua.


No comments:

Post a Comment